Wednesday, January 30, 2008

‘Selamat hari jadi Sharlinie, 21 hari kami merinduimu’


PETALING JAYA 29 Jan. – Esok usia Sharlinie Mohd. Nashar genap lima tahun. Esok juga genap 21 hari anak kecil itu hilang.

Apa nasib kanak-kanak malang itu ketika ini tiada siapa yang tahu.

Kehilangan Sharlinie sejak 9 Januari lalu mendapat perhatian meluas media dan rakyat Malaysia yang kemudian sama-sama membantu pihak polis mencarinya.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri mengambil berat kes penculikan tersebut.

Namun, setelah berjuta-juta poster diedarkan termasuk di sempadan negara dan beratus-ratus ribu buah rumah serta premis perniagaan di Lembah Klang diperiksa, Sharlinie masih belum ditemui.

Selepas tiga minggu, belum ada sebarang petunjuk di mana dia berada ketika ini.
Sempena ulang tahun kelahirannya yang kelima esok, keluarga Sharlinie tentu terbayang-bayang permintaan anak kecil itu.

Seminggu sebelum diculik dia sempat berpesan kepada ibunya, Suraya Ahmad, 28, supaya jangan lupa membelikan hadiah anak patung ‘Barbie’ pada sambutan ulang tahun kelahirannya yang kelima.

Beberapa jam sebelum hilang pada 9 Januari lalu ketika dalam perjalanan pulang bermain bersama kakaknya, Sharliena, 8, dari padang permainan tidak jauh dari rumah mereka di Taman Medan di sini, Sharlinie juga meminta dibelikan telefon bimbit mainan.

Esok sudah tentu tiada suasana riuh dan keriangan di rumah Suraya, tidak seperti lima tahun sebelumnya ketika Sharlinie dilahirkan tepat pukul 7.58 malam 30 Januari 2003.

Suraya memberitahu, dia teringat-ingatkan Sharlinie yang sering berbaju cantik pada hari ulang tahun kelahirannya.

Kanak-kanak itu sukakan kek coklat kegemarannya. Kegembiraan dan suara nyaringnya ketika memotong kek menggamatkan rumah.

Menurut Suraya, Sharlinie gemar mengambil krim coklat di atas kek dan suka mencampakkannya ke arah kakaknya, Sharliena.
Kemudian mereka akan sama-sama tergelak besar.

“Esok (hari ini) pasti kami sangat terasa ketiadaannya,” kata bapanya, Mohd. Nashar Mat Hussain, 29.

Mohd. Nashar merayu: “Kepada siapa yang ambil Sharlinie, saya tahu kamu pun makhluk Allah yang ada perikemanusiaan.

“Tolonglah pulangkan dia, kami tidak tahan lagi menanggung derita merinduinya.”
Berikutan kehilangan Sharlinie, sambutan ulang tahun kelahirannya esok akan digantikan dengan majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat.

Bagi mengubat rindu, kata Mohd. Nashar, setiap malam isterinya akan mencium batal peluk Sharlinie yang tidak dibasuh sejak kehilangannya.

No comments: