Friday, January 04, 2008

Murid kenit masuk tahun dua

PEKAN 3 Jan. – Semangat murid kenit Muhd. Zull Hanif Abd. Halim, 8, yang memulakan tahun dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Mutiara, dekat sini, tetap membara seperti rakan-rakan lain yang lebih besar.
Dengan ketinggian hanya 72 sentimeter atau kira-kira 2 kaki 6 inci dan berat kira-kira 7.5 kilogram, dia diletakkan di barisan hadapan kelas, tekun mengikuti pembelajaran oleh guru.

Ketika didekati, dia yang mesra dengan panggilan ‘abang’, agak malu-malu dan hanya tersenyum.

Ayahnya, Abd. Halim Sulaiman, 31, sewaktu ditemui berkata, walaupun pemalu, Muhd. Zull Haniff seorang anak yang kuat semangat dan amat suka ke sekolah.

‘‘Walaupun hari ini hujan, dia tetap mahu ke sekolah, malah pukul 6 pagi lagi dia dah bangun untuk buat persediaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Abd. Halim, bagi membolehkan Muhd. Zull Hanif terus bersekolah, pakaian seragam sekolah perlu ditempah khas berikutan pakaian seragam sedia ada, tiada saiz.
Malah kasut sekolah juga katanya, terpaksa membelikan kasut saiz bayi.

Beliau menambah, walaupun tubuh anaknya kecil tetapi kekurangan itu tidak pernah dijadikan alasan untuk memulakan hari pertama sesi persekolahan bersama rakan-rakan lain.
Ditanya ketinggian dan berat badan anaknya itu, pekerja kilang udang harimau tersebut menjelaskan, tidak banyak perubahan berlaku ke atas anak lelakinya itu berbanding tahun lalu.
Sementara itu, Guru Besar SK Sinar Mutiara, Md. Nasaha Abd. Manan mengakui, Muhd. Zull Hanif seorang pelajar yang berdisiplin dan rajin ke sekolah.

‘‘Selalu saya nampak dia (Muhd. Zull Hanif) sampai (ke sekolah) sama masa dengan saya, pukul 7.15 pagi,” kata beliau.

Jelas Md. Nasaha lagi, murid yang sentiasa menjadi perhatian di kalangan rakan-rakannya mesra bergaul dan pihak sekolah turut memastikan keselesaan Muhd. Zull Hanif semasa berada di sekolah tersebut.

Kisah Muhd. Zull Hanif pernah mendapat liputan meluas media sebelum ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menyerahkan kerusi bermotor ciptaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) kepada kanak-kanak kenit itu pada Februari tahun lalu.

Projek mencipta kerusi bermotor untuk kanak-kanak itu diusahakan atas kerjasama UMP dan Utusan Malaysia setelah disiarkan kesukaran Muhd. Zull Hanif yang baru memasuki alam persekolahan.

Kerusi yang menggunakan teknologi bermotor itu, boleh dilaras ketinggiannya bagi memudahkan kanak-kanak kerdil itu berada sama paras dengan ketinggian meja di kelasnya serta digerakkan ke depan atau belakang.

No comments: