Monday, January 28, 2008

Suharto meninggal dunia - Hembus nafas akhir setelah koma, dirawat sejak tiga minggu




JAKARTA 27 Jan. – Bekas Presiden Indonesia, Muhammad Suharto yang memerintah Indonesia selama 32 tahun, meninggal dunia hari ini di Rumah Sakit Pusat Pertamina (RSPP).


Beliau meninggal dunia pukul 1.10 petang (2.10 petang waktu Malaysia) setelah berada dalam keadaan kritikal dan koma sejak awal pagi ini.


“Presiden kedua Indonesia, Haji Muhammad Suharto telah meninggal dunia pada pukul 1.10 tengah hari (pukul 2.10 petang waktu Malaysia,” kata seorang pegawai polis, Mejar Dicky Sondani kepada pemberita.


Pengumuman mengenai kematiannya turut dibuat oleh bekas Menteri Setiausaha Negara Indonesia, Moerdiono melalui siaran radio ke seluruh negara sejurus selepas pasukan doktor yang merawat Suharto mengesahkan kematian bekas Presiden Indonesia kedua itu.


“Bapa telah kembali kepada Tuhan,” kata anak sulung perempuannya, Siti Hardijanti “Tutut” Rukmana dengan linangan air mata.


“Kami meminta jika bapa melakukan kesalahan, tolong maafkan. Moga bapa dibebaskan daripada semua kesilapannya,” ujarnya.


Suharto, 86, berada dalam keadaan kritikal semenjak dikejarkan ke RSPP pada 4 Januari lalu dengan mengalami beberapa masalah pada bahagian jantung, paru-paru dan buah pinggang.


Pasukan doktor yang merawat Suharto menjelaskan bahawa beliau mengalami kegagalan beberapa organ untuk berfungsi sebelum koma dan seterusnya meninggal dunia.


“Beliau meninggal dunia,” kata seorang anggota pasukan perubatan, Dr. Christian Johannes.
Pasukan perubatan beliau berkejar ke Hospital Pertamina selepas tekanan darah beliau turun secara mendadak malam tadi dan koma untuk kali pertama selepas beberapa minggu mendapat rawatan di hospital.


Beliau juga sering keluar dan masuk hospital apabila keadaan kesihatannya semakin merosot selepas disingkirkan dari kekuasaan berikutan krisis kewangan Asia 1997-1998 dengan kebanyakannya berpunca daripada masalah jantung dan pendarahan dalaman.

– Agensi

No comments: