Saturday, January 12, 2008

Laman blog Nurin lancar gerakan cari Sharlinie


KUALA LUMPUR 11 Jan. - Berita mengenai kehilangan kanak-kanak berusia lima tahun, Sharlinie Mohd. Nashar, di Taman Medan, kelmarin, terus mendapat perhatian pelbagai pihak.
Antara yang aktif memaparkan isu mengenai kehilangan dan melancarkan gerakan mencari Sharlinie adalah laman blog www.nurinjazlin.blog spot.com.
Walaupun diwujudkan khusus mengenang Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin, laman blog itu tidak ketinggalan menyeru rakyat Malaysia agar memberikan kerjasama dalam usaha mengesan kanak-kanak tersebut.
Pengendali laman blog berkenaan, Jasni Abdul Jalil, 44, berkata, selain membantu, penyiaran berita kehilangan Sharlinie dalam laman blog berkenaan adalah bagi menyatakan rasa simpatinya terhadap apa yang berlaku.
‘‘Pihak kami pernah merasakan apa yang kini dirasai oleh keluarga Sharlinie iaitu kehilangan Nurin.
‘‘Atas rasa simpati, saya selitkan sama berita kehilangan Sharlinie dalam laman blog agar dia dapat ditemui semula dengan selamat,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi kelmarin, Sharlinie dan kakaknya, Sharliena, 8, yang dalam perjalanan pulang dari bermain di taman permainan berdekatan rumahnya di Jalan PJS2C/11N, Taman Medan, Petaling Jaya, hilang ‘dalam sekelip mata’.
Lokasi kali terakhir Sharlinie dilihat kakaknya ialah kira-kira 150 meter dari rumah mereka iaitu di persimpangan lorong ke taman permainan itu dengan di kiri kanannya adalah rumah teres.
Jasni berkata, bagi membantu usaha mengesan, laman blog tersebut turut memaparkan gambar Sharlinie serta lakaran wajah suspek yang dikatakan menculik kanak-kanak itu.
‘‘Kita juga menyeru dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Sharlinie supaya menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999,’’ katanya.Ditanya mengenai maklum balas orang ramai terhadap berita kehilangan Sharlinie menerusi laman blog itu, beliau menjelaskan bahawa selain menyatakan rasa marah, masyarakat turut memberikan pelbagai cadangan dalam usaha mengesan Sharlinie.
- Utusan Malaysia

No comments: