Saturday, December 01, 2007

Perhimpunan haram : Beritahu maklumat tepat

HONG KONG 30 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat Malaysia yang berada di Hong Kong menjelaskan kepada rakan-rakan mereka perkara sebenar yang berlaku berhubung perhimpunan haram di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, demonstrasi jalanan itu memang dirancang oleh pihak tertentu yang berkepentingan menjelang pilihan raya umum akan datang.
Tanpa menyatakan pihak yang bertanggungjawab menganjurkan demonstrasi itu, beliau berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana sebarang masalah boleh ditangani menerusi banyak cara dan bukannya dengan berdemonstrasi.
‘‘Di Hong Kong terdapat kira-kira 15,000 rakyat Malaysia, oleh itu saya minta mereka yang ada di sini menjelaskan perkara sebenar yang berlaku kepada rakan-rakan di sini,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap pada majlis pertemuan dengan rakyat Malaysia di sini hari ini.
Najib berkata, penting untuk rakyat Malaysia yang berada di luar negara mendapat maklumat yang tepat mengenai perkara tersebut.
Beliau turut meminta mereka supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang disebarkan melalui Internet mahupun laman web dan blog tentang perhimpunan haram itu.
Kerajaan tegas beliau, akan bertindak mengikut lunas undang-undang terhadap mereka yang terlibat melakukan demonstrasi jalanan.
Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis makan malam bersama kapten industri, Najib menggesa para pelabur supaya mengambil kesempatan daripada kemudahan, insentif dan peluang pelaburan yang ada untuk melabur di Malaysia.
– Utusan

No comments: