Tuesday, December 04, 2007

Tulang Altantuya di pusat letupan

SHAH ALAM 3 Dis. - Bicara kes bunuh Altantuya Shaariibuu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa tulang-tulang mangsa termasuk tulang belakang, tulang rangka dan tulang tangan ditemui betul-betul di pusat letupan di kawasan belukar di atas bukit antara Puncak Alam dan Puncak Perdana.
Ketua Unit Siasatan, Tempat Kejadian Jenayah (CSI) Makmal Forensik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Supritendan Amidon Anan berkata, terdapat juga gumpalan rambut yang ditemui sejauh 19 meter dari pusat letupan dan paling dekat gumpalan rambut ditemui adalah pada jarak dua meter dari pusat tersebut.
Beliau berkata demikian sambil merujuk kepada gambar-gambar di tempat kejadian yang dijadikan bahan bukti semasa disoal oleh Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin berhubung jarak barang-barang bukti itu dari tempat kejadian.
Menurut beliau, ukuran jarak tersebut dibuat menggunakan tali yang ditarik dari tempat barang-barang bukti itu ditemui ke pusat letupan.
Terdahulu semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, Amidon berkata, tempat kejadian sebenar adalah di pusat letupan dalam kawasan belukar manakala kawasan lapang berhampiran adalah kawasan di mana terdapat serpihan-serpihan bahan letupan dan bahan biologikal ditemui.
Di tempat kejadian, kata saksi pendakwa ke-58 itu, beliau dan pasukannya tidak ada mengambil benda-benda lain sebagai bahan bukti kecuali bahan balistik (letupan) dan biologikal.
Mengenai antropologi forensik video atau imejan forensik video yang ditimbulkan oleh peguam bela Koperal Sirul Azhar Umar, Kamarul Hisham Kamaruddin, Amidon berkata, ia bukan satu-satunya cara untuk ahli forensik membuat pengenalpastian imej dalam sesuatu rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Itu hanya salah satu kaedah atau bidang. Kita ada pembinaan semula wajah, pengimejan wajah serta pembinaan semula dan pengimejan melalui 3D,” ujarnya.
Bagi kes ini, katanya, beliau menggunakan kaedah konvensional iaitu bergantung kepada pemerhatian daripada imej yang terdapat dalam CCTV dan dibandingkan kepada imej atau gambar-gambar pegun atau orang yang masih hidup.
Jelas Amidon, beliau tidak perlu menggunakan kaedah antropologi forensik video memandangkan beliau mengenali Cif Inspektor Azilah Hadri (tertuduh pertama) sejak awal tahun 90-an ketika beliau bertugas sebagai Timbalan Ketua Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
“Ketika itu, Cif Inspektor Azilah adalah salah seorang pegawai penyiasat yang ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.
"(Apabila) Seringkali berlaku kes samun dan bunuh, Azilah akan menghubungi saya bagi memohon tugasan forensik dan juga saya pernah mengajar dan mendidik beliau untuk menjadi pegawai penyiasat yang baik,” katanya dengan nada sayu dan sesekali memandang ke arah Azilah di kandang tertuduh.
Amidon yang yakin dengan rumusan bahawa imej dua lelaki dalam rakaman CCTV di Hotel Malaya pada 18 Oktober tahun lalu adalah Azilah dan Sirul Azhar bagaimanapun berkata, beliau tidak mengenali Sirul Azhar tetapi pemerhatian dibuat berdasarkan kepada gambar tertuduh itu yang diberikan oleh pihak polis.
Sementara itu, bekas Ketua Seksyen Siasatan Pasca Letupan di Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Supritendan Muhammad Koey Abdullah, 46, berkata, jika berlaku letupan, adalah menjadi tugasnya untuk pergi ke tempat kejadian bagi mengenal pasti jenis dan punca letupan, bahan letupan yang digunakan dan mereka semula kejadian atau alat itu.
Beliau yang memegang jawatan itu sejak tahun 2004 hingga Disember 2006 dan kini mengikuti kursus Diploma Sains Siasatan selama 18 bulan di Maktab PDRM berkata, sepanjang tempoh menjadi ketua bahagian itu, beliau telah pergi menyiasat di empat tempat kejadian melibatkan bahan letupan.
“Selain itu, saya juga bertanggungjawab menganalisis bahan-bahan bukti kejadian letupan untuk menentukan sama ada ia menyerupai alat letupan yang diubah suai (IED),” katanya.
Jelas beliau, IED adalah satu bentuk bahan letupan yang telah diubah suai bertujuan membuat pengeboman atau huru-hara atau berniat jenayah contohnya seperti bom jangka.
Beliau juga ditanya pada pemeriksaan utama oleh Noorin mengenai bidang tugasnya sebagai pegawai turus Unit Pemusnah Bom (UPB) PDRM sejak tahun 1996 hingga 2000 sebelum ditukarkan ke Ulu Kinta, Perak sebagai pegawai persenjataan briged mulai tahun 2001 hingga 2004.

No comments: