Thursday, December 20, 2007

Banjir di daerah sempadan Thailand semakin buruk


KUALA LUMPUR 19 Dis. – Keadaan banjir di beberapa buah daerah di Kedah dan Kelantan yang bersempadan dengan Thailand bertambah buruk hari ini ekoran peningkatan air di Sungai Golok yang mencecah paras bahaya 10.12 meter.
Ekoran peningkatan paras air di sungai tersebut, jumlah mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan di kedua-dua negeri itu meningkat kepada 11,583 orang hari ini.
Paling terjejas teruk ialah Padang Terap di Kedah dengan seramai 1,405 orang dipindahkan manakala di Tumpat, Kelantan seramai 2,335 orang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengulas banjir di kawasan sempadan Malaysia-Thailand itu berkata, banjir di Kedah dan Kelantan menjadi semakin buruk kerana masalah yang sama iaitu pelepasan air dari sebuah empangan di selatan Thailand beberapa hari lepas akibat hujan lebat.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Negara berkata, air memang melimpah di selatan Thailand dan seterusnya ke negeri-negeri di utara Kelantan dan Kedah.
“Memang kita dapati air dilepaskan dari empangan terbabit atau berpunca keretakan empangan, saya tidak tahu puncanya tetapi hakikatnya air memang melimpah di selatan Thai dan seterusnya utara Kelantan.
“Kedah turut merasa kesannya,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bunohan di Tumpat, Kelantan hari ini.
Turut hadir dalam lawatan Timbalan Perdana Menteri ke kawasan banjir itu ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Awang Adek Hussein.
Pada majlis tersebut Najib turut menyampaikan sumbangan tiga ekor lembu untuk dijadikan korban sempena Hari Raya Aidiladha di tiga pusat pemindahan banjir di jajahan ini.
Di Kedah, seramai 2,970 mangsa banjir dipindahkan ke 38 buah pusat pemindahan banjir, berbanding 1,327 orang semalam apabila paras air di beberapa kawasan semakin meningkat.
Beberapa jalan di daerah tersebut juga terpaksa ditutup bagi kenderaan ringan ekoran kenaikan paras air di Jalan Naka ke Jalan Nami, Jalan Kuala Nerang ke Jalan Tualak, Jalan Semeriang dan Jalan Kubang.
Selain di Padang Terap, seramai 684 mangsa banjir dari Sik, 537 orang dari Kota Star, Kubang Pasu (274) dan Kuala Muda (69) terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.
Di Kelantan, keadaan banjir di Tumpat bertambah buruk apabila seramai 2,335 mangsa banjir terpaksa dipindahkan berbanding 2,054 orang semalam.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Asisten Supritendan Bashar Salam berkata, selain Tumpat, Pasir Mas turut mencatatkan pemindahan mangsa yang tinggi iaitu seramai 6,251 orang.
‘‘Di Tanah Merah seramai 10 orang dipindahkan manakala di Kota Bharu seramai 17 orang,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Dalam pada itu beliau memberitahu, meskipun paras banjir di beberapa daerah di Kelantan semakin meningkat, empat pusat pemindahan banjir di Kuala Krai, Machang, Gua Musang dan Jeli telah ditutup manakala 34 lagi masih dibuka.
Sementara itu di Pahang, keadaan banjir mula beransur pulih di enam daerah yang terlibat apabila hanya 21,363 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan berbanding 22,754 orang semalam.
Jumlah mangsa banjir di daerah Maran kekal 3,223 orang manakala di lima daerah lain iaitu Pekan (9,313), Temerloh (3,585), Rompin (2,181), Bera (1,916) dan Kuantan (1,145) semakin berkurangan.
Keadaan banjir di Johor juga bertambah baik ekoran cuaca cerah di beberapa buah daerah di negeri itu hari ini.
Jurucakap bilik gerakan banjir negeri Johor berkata, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir berkurangan hari ini iaitu seramai 1,737 orang berbanding 2,610 orang semalam.
‘‘Muar masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 952 orang diikuti Segamat (735) dan Batu Pahat (50).
Pemindahan
‘‘Sebanyak 62 pusat pemindahan telah ditutup dan hanya 28 buah yang masih beroperasi,’’ katanya.
Meskipun banjir semakin pulih di negeri tersebut, dua batang sungai di Segamat dan Muar masih di paras bahaya dengan masing-masing mencatatkan bacaan 9.43 meter serta 2.74 meter.
Dalam pada itu, Najib ketika diminta mengulas mengenai pertambahan anggota tentera dan polis bagi menghadapi gelombang kedua banjir ekoran fenomena air pasang besar mulai Ahad ini, berkata, ia akan dilakukan sekiranya keadaan terus bertambah buruk.
‘‘Kita akan buat apa jua yang perlu dilakukan, jadi sekiranya keadaan bertambah buruk, kita akan kerah lebih banyak tenaga,” jelasnya.
Katanya, pihak berkuasa menjangkakan paras air banjir akan meningkat atau bertahan pada keadaan sekarang sekiranya fenomena air pasang berlaku bermula Jumaat ini sehingga 29 Disember depan.
‘‘Justeru itu bagi mereka yang tinggal di tepi laut, kawasan rendah dan muara sungai, saya minta mereka berhati-hati, ada kemungkinan paras air laut akan naik semasa fenomena air pasang besar nanti.
‘‘Ia boleh menyebabkan sama ada paras air meningkat atau bertahan pada keadaan sekarang, mereka perlu ambil kira apa-apa panduan dan arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa negeri dan daerah,” katanya.
Beliau turut berpuas hati dengan kerjasama di antara jabatan Kerajaan Pusat dan negeri membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini.
‘‘Saya nampak badan bukan kerajaan (NGO) turut menyumbang dan UMNO serta Barisan Nasional (BN) agak ke depan dalam membantu mangsa banjir tetapi kita berharap momentum daripada NGO akan bertambah.
‘‘Sumbangan dari badan korporat pun bertambah dan di Kelantan, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Raja Perempuan Kelantan banyak membantu,” katanya.

No comments: