Sunday, December 30, 2007

Polis tidak pernah abai kes Nurin

KUALA LUMPUR 29 Dis. – Polis tidak pernah mengabaikan penyiasatan kes pembunuhan kejam kanak-kanak malang, Nurin Jazlin Jazimin walaupun kejadian itu sudah tiga bulan berlalu.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah berkata, walaupun tiada kenyataan dikeluarkan, ia bukan bermakna kes itu ditutup sebaliknya siasatan akan tetap diteruskan hingga tertangkap pembunuhnya.
Beliau berkata, orang awam seharusnya memahami dan tidak mendesak pihak berkuasa, sebaliknya mereka perlu diberi peluang serta masa untuk menyelesaikan kes tersebut mengikut prosedur siasatan yang ditetapkan.
“Kami (polis) tidak pernah mengabaikan kes ini, sebaliknya isu itu dibincangkan dalam setiap mesyuarat yang diadakan pada setiap minggu.
“Kami sedang mencuba dan tidak akan berputus asa ,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri kempen Pencegahan Jenayah (Rakan Cop) kawasan Jinjang anjuran bersama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, di kawasan perumahan Taman Wahyu, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Abu Seman Yusop.
Beliau memberitahu, polis masih memerlukan kerjasama dan maklumat dari orang awam bagi mengesan pembunuh terbabit.
“Sebaliknya, ada sesetengah pihak yang sengaja mengambil kesempatan ini untuk memberi maklumat yang tidak sahih dan mempermainkan pihak berkuasa,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Chin Wah berkata, polis masih memerlukan lebih banyak maklumat khususnya saksi yang terserempak dengan seorang lelaki yang dikatakan membawa beg sukan berisi mayat kanak-kanak malang tersebut.
Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang pada 20 Ogos lepas setelah keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Wangsa Maju.
Pada 17 September, mayatnya ditemui dengan kesan penderaan seksual melampau dan disumbat ke dalam beg sukan di hadapan sebuah kedai di Petaling Jaya.
Sementara itu, Abu Seman memberitahu, Rakan Cop menyaksikan penyertaan baru sebanyak 180,000 orang bagi tahun ini sahaja.
“Saya percaya Rakan Cop merupakan pendekatan gandingan bijak antara polis dan masyarakat. Masyarakat menjadi telinga dan mata polis serta membantu menyelesaikan pelbagai kes,” katanya.
Rakan Cop merupakan sebuah program yang diperkenalkan pada Ogos 2004 bagi melibatkan masyarakat umum dalam usaha mencegah kegiatan jenayah.

No comments: