Friday, November 30, 2007

Polis yakin kes Dr Faiz akan selesai secepat mungkin

POLIS yakin dapat menyelesaikan kes membabitkan Angkasawan Negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed yang cedera diserang di hadapan rumahnya di Taman Mawar, Cheras baru-baru ini dengan tertangkapnya dua lelaki rakyat tempatan di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Jalil Hassan berkata, kedua-dua suspek yang berumur 34 dan 36 tahun itu telah ditahan di sekitar Ampang.
‘‘Siasatan awal menunjukkan suspek tidak mengenali Dr. Faiz dan tidak tahu bahawa mereka (suspek) telah melakukan samun terhadap Dr. Faiz.
‘‘Namun, suspek turut melakukan samun pada hari, waktu dan tempat yang sama ketika kejadian membabitkan Dr. Faiz berlaku,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, dua lelaki bersenjatakan parang menyerang Dr. Faiz sebelum melarikan rantai milik teman wanitanya kira-kira pukul 2 pagi.
Dr. Faiz cedera di tangan kiri ketika cuba menepis serangan tersebut dan terpaksa dimasukkan ke Pusat Perubatan Gleneagles Intan untuk mendapat rawatan.
Jalil memberitahu, polis turut merampas parang dan kereta yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu daripada keduadua suspek berkenaan.
‘‘Terdapat kesan darah pada parang tersebut dan polis akan menghantar ke makmal bagi memastikan darah itu sama dengan jenis darah Dr. Faiz.
Jelasnya, wajah suspek akan ditunjukkan kepada Dr. Faiz dalam waktu terdekat bagi proses pengecaman.
‘‘Ketika ini, Dr. Faiz masih belum sihat sepenuhnya dan polis akan pergi berjumpa dengan beliau dan menunjukkan gambar suspek,’’ katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai turut aktif melakukan samun di sekitar Ampang.
‘‘Hasil siasatan turut menunjukkan kedua-dua suspek telah melakukan samun di sekitar Ampang sebelum ini.
‘‘Suspek akan ditahan reman sehingga polis berpuas hati dengan siasatan,’’ jelasnya.

Syafiq

No comments: