Tuesday, December 11, 2007

Hui Yee boleh makan makanan segera

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA

PENERIMA jantung, Tee Hui Yee, 14, kini bukan sahaja dapat merasa masakan ibunya malah dia juga sudah boleh makan makanan segera berikutan tahap kesihatannya yang semakin memberangsangkan.
Bagaimanapun katanya, walaupun sudah dibenarkan merasa makanan segera tetapi ia tidak boleh terlalu kerap kerana masih berada di dalam rawatan.
Hui Yee yang kedengaran riang ketika dihubungi Utusan Malaysia di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini berkata, dia berpuas hati kerana doktor sudah mula memberikan kebenaran kepadanya untuk merasa pelbagai jenis makanan.
‘‘Tetapi saya tidak boleh selalu makan makanan segera kerana saya masih berada di dalam pantang makanan,’’ katanya yang semakin bertambah selera makan.
Hui Yee ketika ditanya mengenai sambutan Krismas berkata, dia berharap dapat menyambut perayaan itu bersama seluruh keluarga dan sanak saudara di Batu Pahat, Johor.
‘‘Perkara pertama sekali yang saya ingin lakukan pada Krismas nanti ialah masak pelbagai masakan bersama ibu kerana sebelum ini apabila tiba sahaja musim perayaan, kami pasti masak bersama.
‘‘Selain itu, saya dapat bayangkan jika saya dapat keluar awal sebelum Krismas pasti saudara-saudara saya ada banyak cerita yang ingin dikongsi bersama kerana mereka semua akan menyambut beramai-ramai di rumah saya,” katanya.
Sementara itu, bapanya, Tee Ah Soon, 51, berkata, Hui Yee mungkin akan keluar pada minggu hadapan sekiranya pemeriksaan jantung pada hari Rabu ini memberangsangkan.
‘‘Saya turut gembira jika dia dibenarkan pulang awal kerana ramai sanak saudaranya yang tidak sabar-sabar untuk berjumpa dan menyambut Krismas bersamanya.
‘‘Saya juga bercadang untuk membelikan dia baju baru bagi menyambut Krismas selepas sekian lama berada di IJN,” katanya.
Krismas kali ini, jelasnya, amat bermakna buat Hui Yee dan beliau sekeluarga bercadang untuk mengadakan majlis kecil-kecilan dengan menjemput semua kakitangan IJN yang selama ini bertungkus lumus menjaga anaknya ke Batu Pahat.

No comments: