Sunday, December 02, 2007

"Saya tidak perlu pengawal peribadi"

Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yakin beliau mampu menjaga dirinya sendiri tanpa perlu khidmat pengawal peribadi.
Sheikh Muszaphar berkata, apa yang penting, beliau akan cuba berhati-hati dan sentiasa berwaspada mengenai keselamatannya ketika berada di khalayak ramai.
“Setakat ini saya tiada masalah mengenai keselamatan diri dan harap tiada apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai acara Larian Amal Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keselamatan dirinya ekoran kejadian rakannya yang juga merupakan angkasawan negara, Mejar Dr.Faiz Khaleed yang cedera akibat diserang perompak di hadapan rumahnya pada 21 November lalu.
Dalam kejadian itu, Faiz cedera di tangan diserang dua lelaki bersenjatakan parang yang cuba merompaknya di hadapan rumahnya di Taman Mawar, Cheras di sini pada pukul 2 pagi.
Sheikh Muszaphar yang hadir bersama teman wanitanya, Dr. Halina Mohd. Yunos pada acara itu berkata, beliau amat seronok dapat berjumpa dengan orang ramai dan tiada perkara negatif yang menimpa dirinya sejak bergelar angkasawan negara.

No comments: