Tuesday, November 20, 2007

FBI gagal meningkatkan mutu rakaman CCTV kes Nurin

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) gagal untuk meningkatkan kualiti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, Dewan Rakyat diberitahu.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Bahrum berkata, FBI gagal mengecam nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki seorang lelaki yang dilihat dalam rakaman itu.
“Kita telah minta kerjasama FBI untuk membuat penilaian daripada gambar CCTV itu, namun masih tidak dapat kesan nombor plat motosikal berkenaan,” katanya menjawab soalan Datuk Mohd Razali Che Mamat (BN-Kuala Krai).
Mohd Razali ingin tahu perkembangan terbaru kes pembunuhan kanak-kanak berumur lapan tahun itu yang dilaporkan hilang pada 20 Ogos lalu dan kemudian dijumpai mati pada 17 September selepas dirogol.
Antara segmen rakaman CCTV itu menunjukkan imej seorang lelaki menaiki motosikal jenis Modenas Kriss dengan membawa sebuah beg sukan berlegar-legar di luar bangunan kedai tiga tingkat di Petaling Jaya pada 16 September lepas.
Lelaki itu kemudian mengangkat beg itu dari motosikalnya dan meninggalkannya di tepi tangga tingkat bawah premis itu sebelum beredar dari situ.
Mohd Johari berkata, polis masih meneruskan usaha untuk mengesan lelaki tersebut dan berharap orang ramai dapat membantu memberi maklumat.
- Bernama

No comments: