Thursday, November 15, 2007

Keputusan UPSR kali ini menakjubkan - Dato' Sri Hishamuddin

PUTRAJAYA 15 Nov. _ Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini dianggap sebagai sesuatu yang menakjubkan berbanding tahun-tahun sebelumnya, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata, ini kerana peningkatan kelulusan dalam peperiksaan itu bukan hanya disumbangkan oleh pelajar yang memperolehi kelulusan 5A malah jumlah yang lulus dalam semua mata pelajaran turut meningkat dengan mendadak.
Peningkatan itu juga, katanya bukan disebabkan isu kebocoran soalan yang diheboh dan digembar-gemburkan oleh beberapa pihak sebelum ini.
``Saya telah mendengar taklimat mengenai analisis keputusan UPSR daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) hari ini dan cukup gembira dengan analisis itu.
``Bagi saya ia adalah petanda yang cukup baik kepada kita semua, lebih-lebih lagi penekanan kita terhadap usaha membangun dan memperkasakan modal insan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPII),'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini, hari ini.
Seramai 504,537 calon dari sekolah kementerian dan 6,982 calon dari sekolah swasta mengambil peperiksaan itu tahun ini.
Pada sidang akhbar itu juga beliau turut mengumumkan Terengganu mencatat kelulusan UPSR yang paling tinggi berbanding negeri lain.
Hishammuddin memberitahu, penekanan kerajaan terhadap usaha membangunkan dan memperkasakan modal insan telah memberi kesedaran kepada ibu bapa untuk memberi tumpuan yang khusus kepada pendidikan sekolah anak-anak sendiri.
``Sehubungan itu, saya berharap kesedaran tersebut akan berterusan pada tahun-tahun akan datang,'' katanya.
Sementara itu, Hishammuddin mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penggal Baru Persekolahan 2008 akan dipengerusikan oleh beliau sendiri bagi menangani isu-isu awal persekolahan.
Beliau berkata, langkah tersebut diambil supaya apa jua kekeliruan orang ramai berhubung pengumuman mengenai pendidikan dalam Bajet 2008 lalu dapat diperjelaskan dengan lebih sempurna dan berhemah.
``Satu talian khusus akan disediakan bagi membolehkan orang ramai mengadu mengenai apa sahaja isu yang berkaitan dengan awal persekolahan kepada jawatankuasa itu sebelum sesi persekolahan 2008 bermula.
``Nombor telefon dan faksimilinya akan diumumkan pada hari Isnin ini dan orang ramai boleh menyampaikan aduan itu bermula pada hari tersebut,'' katanya.
Terdahulu beliau menyerahkan Jalur Gemilang kepada Pasukan Malaysia ke Kejohanan Robotik Olympiad Dunia di Taiwan yang bermula esok sehingga 18 November ini.
Seramai 15 pasukan yang terdiri daripada enam sekolah rendah, dua sekolah menengah rendah dan tujuh sekolah menengah akan mewakili Malaysia ke kejohanan yang membabitkan 24 buah negara seluruh dunia.- Utusan

No comments: