Saturday, November 03, 2007

Lagi kes hilang mirip Nurin.


GEORGETOWN: Belum pun selesai siasatan kes Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang mayatnya dijumpai dalam beg pakaian sukan selepas hilang selama 27 hari, seorang lagi budak perempuan dilaporkan tidak pulang selepas keluar berseorangan ke pasar malam berhampiran rumahnya di Kampung Kolam di sini, empat hari lalu. Malah, kehilangan Rekha Abdullah (gambar), 10 , juga menyamai kes Nurin yang tidak pulang selepas keluar berseorangan ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 20 Ogos lalu sebelum mayatnya ditemui hampir sebulan selepas itu. Rekha, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Island, Jalan Larut di sini, dikatakan ke pasar malam berhampiran rumahnya, kira-kira jam 9 malam Isnin lalu untuk membeli cakera padat video (VCD). Bapa tirinya, Ahamad Omar, 49, seorang peniaga barang lusuh, berkata Rekha meminta RM5 untuk membeli VCD di pasar malam serta mengajak abang sulungnya menemaninya. Bagaimanapun, abang Rekha yang berusia belasan tahun, ada urusan lain. Berikutan itu, Rekha yang berbaju-T dan seluar panjang putih, keluar seorang diri dengan membawa wang RM5. Ketika itu, ibunya, Salmah Sellamah Abdullah, 41, seorang warga India bertaraf pemastautin tetap, bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas. Ahamad yang ditemui di rumahnya di sini semalam, berkata beliau sekeluarga bimbang apabila Rekha tidak pulang ke rumah selepas jam 12 tengah malam dan dengan bantuan beberapa jiran, mencarinya di sekitar tapak pasar malam, rumah rakan serta tempat permainan anak tirinya itu, tetapi menemui jalan buntu. Selepas empat jam mencari dan gagal menemui Rekha, Ahamad membuat laporan di Balai Polis Central di sini, kira-kira jam 4 pagi. "Sehingga kini, kami tidak mendengar sebarang berita mengenainya," katanya. Salmah yang tidak tidak boleh berbahasa Melayu atau Inggeris, hanya menitiskan air apabila menunjukkan potret anak keenamnya itu. Pasangan Salmah dan Ahamad mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan mereka, tiga tahun lalu. Ahamad berkata, sebelum ini Rekha sering ke pasar malam, tetapi bersama abang atau rakannya. "Sebelum ini tidak masalah kerana dia balik selepas ke pasar malam atau ke rumah rakannya," katanya. Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Datuk Abdul Samah Mat, berkata gerakan mencari Rekha dilancarkan sebaik polis menerima laporan mengenai kehilangannya. Operasi mencari kanak-kanak itu diketuai Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abdul Hamid. Beliau berkata, usaha mencari di rumah sanak saudara kanak-kanak itu setakat ini gagal menemui mangsa atau mendapat sebarang petunjuk. Gerakan mencari Rekha juga diperluaskan bukan saja ke seluruh Pulau Pinang, malah ke negeri lain termasuk Kuala Lumpur. Abdul Samah menegaskan, pihaknya memberi perhatian serius terhadap kes berkenaan, terutama ia membabitkan kanak-kanak perempuan kerana khuatir berlaku kejadian tidak diingini. "Siasatan masih dijalankan dan setakat kini masih tidak ada perkembangan, itu yang kita bimbangkan. Terlalu awal untuk buat andaian (diculik)," katanya. Beliau turut mempersoalkan tindakan bapa tiri Rekha yang membenarkan budak itu keluar seorang diri untuk membeli VCD di pasar malam. "Budak itu minta duit daripada bapa tirinya untuk beli VCD. Bagaimana kanak-kanak itu boleh dibenarkan keluar seorang diri pada waktu malam... itu yang menghairankan. "Masih ada keluarga yang tiada kesedaran mengenai keselamatan kanak-kanak. Keluarganya juga kata kanak-kanak ini sering keluar seorang diri dan tiada masalah pulang ke rumah," katanya. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kehilangan Rekha diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di talian 04-2292222 atau balai polis berhampiran. - Berita Harian

No comments: