Wednesday, November 21, 2007

Hui Yee dijangka pulang dalam tempoh terdekat

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Penerima jantung, Tee Hui Yee dijangka dibenarkan pulang ke rumah dalam tempoh terdekat ini ekoran keadaan kesihatannya yang semakin baik.
Bagaimanapun, Institut Jantung Negara (IJN) belum dapat menetapkan tarikh yang tepat kerana penerima jantung berusia 14 tahun itu masih dalam pemantauan pihaknya.
Penyelaras Pemindahan Jantung dan Paru-Paru IJN, Noor Salina Othman berkata, Hui Yee kini melakukan rutin harian dengan bersenam dan memakan ubat bagi membolehkannya berdikari.
‘‘Bila dia akan dibenarkan pulang, itu pihak kami tidak boleh pastikan, namun dengan perkembangan positif yang ditunjukkan, kami percaya dia akan dibenarkan pulang dalam tempoh terdekat.
‘‘Kami juga tumpang gembira kerana kesihatannya semakin pulih dan berat badannya sudah bertambah berbanding dahulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Tambah Noor Salina, remaja itu yang kini ditempatkan di wad biasa, juga diajar cara-cara menjaga kebersihan diri sebagai persediaan sebelum dibenarkan pulang ke rumah kelak.
Dalam pembedahan jantungnya yang pertama, pada 4 Oktober lalu, Hui Yee menerima jantung seorang remaja lelaki Melayu berusia 15 tahun dari Sitiawan selepas keluarga remaja itu bersetuju mendermakan organ anak mereka.
Bagaimanapun, dia terpaksa menjalani pembedahan pemindahan jantung kali kedua pada pagi 5 Oktober lalu setelah tubuhnya tidak dapat menerima jantung pertama yang didermakan kepadanya.
Dia menjadi penerima jantung mekanikal kedua negara selepas Mohd. Fikri Nor Azmi melalui satu pembedahan untuk memasukkan alat bantuan denyutan (PVAD) pada 29 September tahun lalu.

No comments: