Saturday, April 12, 2008

Polis tidak putus asa menyisat kes Sharlinie dan Nurin

KANGAR 10 April - Polis tidak akan berputus asa dalam menyiasat kes kehilangan Sharlinie Mohd. Nashar dan Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin kerana itu tanggungjawab serta amalan kerja pasukan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar berkata, polis masih berusaha menjejaki petunjuk-petunjuk baru bagi menyelesaikan kes-kes tersebut.'

'Kita tidak akan menutup begitu sahaja kes-kes ini dan akan mencari jalan (menyiasat).

''Kerjasama semua pihak termasuk media diperlukan bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab atas jenayah yang dilakukan itu diheret ke muka pengadilan," katanya di sini hari ini.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan Kor Sukarelawan Siswa Siswi (Suksis) Universiti Malaysia Perlis (UniMap) di Dewan Kapitol UniMap di sini hari ini.

Pada 9 Januari lalu, Sharlinie diculik ketika perjalanan pulang selepas bermain bersama kakaknya di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya.

Allahyarham Nurin pula hilang ketika keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur sebelum mayatnya dijumpai pada 17 September lalu iaitu selepas 27 hari kehilangannya.

- Utusan Malaysia

1 comment:

fairuz said...

jaga lah anak2 kita sendiri, kalo dah jadi gini nak nangis air mate darah pon x gne.. suh dia sentiasa berteman kalo g memane..jgn sorang2 bahaya