Saturday, April 12, 2008

Asmawi didakwa berada di Bangsar

Polis terima maklumat budak seirasnya merayau di pusat beli-belah

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak yang hilang sejak 9 Mac lalu, Muhammad Asmawi Jalaludin, 11, dikatakan dilihat berkeliaran di kawasan pusat beli-belah Bangsar Village, Bangsar di sini, Jumaat lalu. Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata polis menerima maklumat orang awam mendakwa ternampak seorang kanak-kanak mirip Muhammad Asmawi di kawasan itu kira-kira jam 4 petang. "Pemberi maklumat itu mendakwa kanak-kanak itu menyerupai gambaran Muhammad Asmawi yang kita sebarkan sebelum ini. "Berikutan itu, kita menghantar tiga pasukan polis melakukan pencarian di sekitar kawasan terbabit namun tidak menemuinya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau berkata, beberapa pasukan dihantar ke kawasan sama kelmarin dan semalam dengan harapan Muhammad Asmawi mungkin berada di tempat itu, yang menjadi tumpuan remaja berkumpul pada malam minggu. "Usaha kita bagaimanapun tidak berhasil kerana semua orang yang ditemui dan ditunjukkan gambar Muhammad Asmawi berkata tidak pernah melihatnya berada di kawasan berkenaan," katanya. Wan Abdul Bari bagaimanapun berterima kasih kepada orang awam yang prihatin mengenai kehilangan pelajar tahun lima itu dan menyalurkan maklumat berguna kepada polis. Muhammad Asmawi dikatakan hilang selepas berpisah dengan rakannya di satu persimpangan kira-kira 50 meter dari rumahnya di Pantai Dalam di sini, jam 6.30 petang, 9 Mac lalu. Dalam perkembangan berkaitan, Wan Abdul Bari berkata, polis serta keluarga Muhammad Asmawi tidak lagi menerima maklumat palsu atau berunsur ugutan sejak seorang remaja disyaki menghantar SMS ugutan kepada keluarga itu ditahan di Sabah, Selasa lalu. Remaja lelaki berusia 19 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kota Kinabalu kerana disyaki menghantar SMS berbunyi 'Asmawi ada di sini. Tapi syarat bagi duit RM5,000' ke telefon bimbit kakak Muhammad Asmawi, Saudah, 30, pada 11 Mac lalu, tiga hari selepas kanak-kanak itu dilaporkan hilang. Mengulas lanjut, Wan Abdul Bari berkata, polis akan meneruskan usaha mencari Muhammad Asmawi dan tidak akan berputus asa sehingga kanak-kanak itu ditemui.

- Berita Harian

No comments: