Wednesday, January 09, 2008

Hui Yee gembira berjumpa dengan rakan-rakan sekolah

BATU PAHAT 9 Jan. - Walaupun hanya akan memulakan sesi persekolahan Jumaat ini, penerima jantung baru, Tee Hui Yee, 15, tidak dapat menahan rasa rindu untuk berjumpa rakan-rakannya.

Beliau yang telah menjalani dua pembedahan pemindahan jantung Oktober tahun lalu meluangkan masa selama dua jam berjumpa rakan-rakannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Batu Pahat di sini tengah hari semalam.

Semasa di sekolah berkenaan, Hui Yee kelihatan gembira bersalaman dan berpelukan dengan rakan-rakan dan gurunya.

"Saya sudah tidak sabar untuk ke sekolah dan amat merindui rakan-rakan di sini," katanya.
Sementara itu, bapanya, Tee Ah Soon, 52, memberitahu, dalam kunjungan itu, rakan-rakan Hui Yee juga kelihatan teruja dan tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengannya.

"Hui Yee memang sudah tak sabar untuk bersekolah walaupun terpaksa mengulang di tingkatan dua semula," katanya ketika dihubungi.

Pada 4 Oktober lalu, Hui Yee menjalani pembedahan pemindahan jantung yang pertama apabila keluarga seorang remaja lelaki dari Sitiawan, Perak bersetuju mendermakan organ anak mereka yang meninggal dunia akibat kemalangan.

Bagaimanapun, beliau terpaksa menjalani pembedahan kedua pada keesokannya setelah jantung pertama itu tidak sesuai dengan sistem tubuhnya.

Jantung kedua itu pula didermakan sebuah keluarga remaja lelaki dari Skudai, Johor dan ia didapati sesuai dengannya.

Hui Yee yang dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 22 Disember tahun lalu bagaimanapun dinasihatkan tidak terus pulang ke kampungnya di sini dan mengambil keputusan untuk tinggal di rumah ibu angkatnya di Kuala Lumpur.

Setelah pihak IJN memastikan kebersihan rumahnya di sini, barulah beliau dibenarkan pulang dan tiba di rumahnya pukul 6.55 petang kelmarin.
- Utusan

No comments: